KEGAGALAN PATUH NOTIS 14 HARI ADALAH ISU SERIUS!

KEGAGALAN MEMATUHI NOTIS 14 HARI ADALAH ISU SERIUS, MENYENTUH PERLEMBAGAAN; DAN BUKAN SEKADAR ISU TEKNIKAL
Tatacara bagi menjalankan majlis mesyuarat di Parlimen, termasuk bagaimana urusan melantik seseorang Speaker, ada diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Perkara 62(1) Perlembagaan menyatakan:-

“Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.”

Perhatikan bahawa istilah yang digunakan ialah “hendaklah”, atau dalam bahasa Inggerisnya “shall”, yang membawa maksud diwajibkan dan mesti. Ia berbeza dengan istilah “bolehlah” atau dalam bahasa Inggerisnya “may”, yang merupakan pilihan, dan tidak diwajibkan.

Justeru, berasaskan punca kuasa wajib ini, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat digubal, di mana Aturan 4(1) menggariskan bahawa bagi mencadangkan nama Speaker, nama tersebut “hendaklah” dimaklumkan kepada Setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya EMPAT BELAS HARI SEBELUM mesyuarat.

Diulangi, perhatikan bahawa istilah yang digunakan ialah “hendaklah”, atau dalam bahasa Inggerisnya “shall”, yang membawa maksud diwajibkan dan mesti. Ia berbeza dengan istilah “bolehlah” atau dalam bahasa Inggerisnya “may”, yang merupakan pilihan, dan tidak diwajibkan.

Dalam Berita Harian hari ini, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah dilaporkan mennyatakan kononnya beliau telah menerima notis yang mencadangkan nama Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pada 2 Julai lalu, sekaligus mematuhi keperluan 14 hari tersebut. [1]

Pun demikian, laporan ini bercanggah dengan laporan sebelumnya, di mana Timbalan Perdana Menteri Dr. Wan Azizah menyatakan bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan hanya telah sepakat memuktamadkan nama Speaker pada 9 Julai 2018. [2] [3] [4]

Jika dihitung tarikh 9 Julai hingga hari ini, hanya 8 hari sahaja, dan tidak cukup 14 hari.

Justeru, terdapat dua kemungkinan di sini. Sama ada Setiausaha Parlimen Datuk Rosmee Hamzah yang menipu bagi mengikut telunjuk Tuan Politikusnya (Political Masters); atau Timbalan Perdana menteri yang membohong.

Persoalannya, apakah kesannya apabila gagal mematuhi tempoh 14 hari tersebut?

Jawapan kepada persoalan ini agak sukar, tapi ada kemungkinan bahawa keseluruhan prosiding pangangkatan sumpah oleh ahli-ahli Parlimen tadi menjadi tidak sah dan terbatal. Bererti, persidangan yang dijalankan di Parlimen adalah persidangan haram dan tidak sah.

Hal ini kerana apabila lantikan Speaker tidak mematuhi kehendak mandatori Peraturan Mesyuarat (yang mendapat punca kuasa wajib daripada Perlembagaan), maka lantikan Speaker itu ipso facto tidak sah. Dan apabila lantikan tidak sah, bererti belum ada Speaker yang dilantik. Dalam hal ini, Perkara 57(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “Dewan Rakyat tidak boleh … menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain pemilihan Yang di-Pertua.”

Dengan kata lain, majlis pengangkatan sumpah hari ini sepatutnya ditangguhkan sehingga tempoh 14 hari tamat, dan kemudian barulah majlis pengangkatan sumpah boleh dilaksanakan.

[1] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/449662/parlimen-terima-notis-pencalonan-2-julai

[2] https://www.malaysiakini.com/news/433517

[3] http://www.thesundaily.my/news/2018/07/10/candidate-dewan-rakyat-speaker-finalised-wan-azizah

[4] http://malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/746790-calon-speaker-dewan-rakyat-sudah-dimuktamadkan-dr-wan-azizah.html

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.